- Home
- Health Center
- Health Info
- Diabetes Punca Kegagalan Buah Pinggang
Diabetes Punca Kegagalan Buah Pinggang


Kencing manis dan Buah Pinggang
Anee!! Teh tarik kaw satu! Ewah ewah, dah la ada kencing manis tanpa rasa bersalah order air manis saja di kedai mamak. Tahukah anda, pesakit kencing manis adalah berisiko tinggi untuk menghidap penyakit buah pinggang? Apalah nasib, sudah jatuh ditimpa tangga. Tahap gula yang tinggi dalam darah boleh menyebabkan masalah di organ-organ badan yang penting seperti jantung, buah pinggang, mata dan otak. Dalam jangka masa yang lama, kencing manis yang tidak terkawal akan menyebabkan kerosakan buah pinggang dan membuatkan buah pinggang gagal berfungsi.
Malaysia merupakan antara negara yang mempunyai kadar peratus pesakit kencing manis tertinggi di dunia dan ini telah menjadi faktor risiko utama kepada kenaikan kadar peratus pesakit buah pinggang di negara ini.
Apakah kepentingan buah pinggang sehingga ada yang sanggup menjualnya demi sibiji iphone?

Buah pinggang berfungsi sebagai organ penting dalam proses perkumuhan. Organ ini bertindak sebagai penapis khas di dalam badan untuk mengeluarkan bahan buangan daripada darah melalui salur darah kecil glomerulus ke dalam saluran nefron. Melalui proses perkumuhan ini, sebahagian besar air dan bahan yang penting untuk badan akan diserap semula ke dalam darah manakala baki bahan kumuh akan disalirkan keluar sebagai air kencing. Kegagalan buah pinggang untuk menapis darah secara normal akan mengakibatkan pesakit berada di peringkat akhir penyakit buah pinggang yang memerlukan dialisis seumur hidup. Pemindahan buah pinggang dan penjagaan konservatif merupakan pilihan alternatif.

Bagaimana penyakit kencing manis boleh memberi kesan kepada buah pinggang?
1. Kencing manis boleh menyebabkan kebocoran buah pinggang
Sekiranya paras gula di dalam darah tidak dikawal dengan rapi, glukosa yang tinggi boleh merosakkan salur darah kecil buah pinggang, menjadikan salur darah tersebut sempit dan tersumbat. Hal ini mengakibatkan berlaku kemerosotan peredaran darah ke buah pinggang. Akibat daripada kurang peredaran darah, buah pinggang menjadi rosak sehingga menyebabkan kebocoran protein (albumin) ke dalam air kencing.

2. Gula dan jangkitan bakteria di saluran kencing
Gula merupakan medium kegemaran bakteria untuk membiak. Oleh hal demikian, pesakit kencing manis adalah berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan kuman di saluran kencing kerana kandungan gula yang tinggi dalam air kencing. Bakteria yang memasuki pundi kencing boleh menjangkiti dan menyebabkan keradangan di saluran kencing, seterusnya merebak ke buah pinggang.
3. Kerosakan saraf
Paras gula dalam darah yang tinggi dan tidak terkawal boleh merosakkan saraf di dalam badan. Saraf berfungsi untuk menghantar isyarat dari otak ke seluruh anggota badan termasuk pundi kencing. Apabila tahap gula dalam darah meningkat, saluran darah kecil yang berfungsi untuk membekalkan oksigen kepada saraf-saraf menjadi sempit dan rosak kerana gagal mendapatkan bekalan oksigen yang mencukupi.
Di samping itu, gula yang berlebihan ini boleh merangsang serangan imun keatas lapisan yang mengelilingi saraf. Ini mengganggu penghantaran isyarat dari otak ke pundi kencing. Oleh hal demikian, pesakit tidak berasa ingin kencing meskipun pundi kencing sudah penuh. Jika dibiarkan lama, tekanan yang tinggi akan terhasil di dalam pundi kencing dan merosakkan buah pinggang.
Justeru itu, sebagai individu yang cakna dengan kesihatan tubuh badan, gaya hidup yang sihat serta kawalan ketat paras gula di dalam darah boleh mengelakkan kesan buruk di dalam jangka masa yang panjang. Sekiranya anda mempunyai paras gula yang tidak terkawal, anda boleh amalkan tips-tips yang berikut:
- Mendapatkan rawatan yang betul jika anda menghidapi penyakit kronik yang boleh meningkatkan risiko penyakit buah pinggang.
- Berhenti merokok.
- Melakukan senaman aerobik seperti berbasikal atau berjalan pantas selama 150 minit setiap minggu.
- Melakukan senaman menguatkan otot di bahagian pelvis sekurang-kurangnya 2 kali seminggu.
- Lelaki disarankan mengambil tidak lebih daripada dua minuman beralkohol setiap hari dan wanita tidak lebih daripada satu minuman beralkohol setiap hari.
- Mengamalkan pemakanan yang seimbang, yang merangkumi buah-buahan dan sayur-sayuran, karbohidrat kompleks, produk tenusu dan protein.
- Mengelakkan makanan yang tinggi kandungan lemak, garam dan gula.
References:
- Diabetes and Chronic Kidney Disease. Centers for Disease Control and Prevention (CDC). (Web accessed August 2023). Web link: https://www.cdc.gov/diabetes/managing/diabetes-kidney-disease.html#:~:text=Each%20kidney%20is%20made%20up,which%20can%20damage%20kidneys%20too.
- MEMS,Management of Type 2 DM, 2016
- Portal MyHealth Diabetis Mellitus http://www.myhealth.gov.my/en/diabetes-mellitus-3/
- Ministry of Health Malaysia. 2018. National Action Plan for Healthy Kidneys (ACT-KID) 2018-2025.
- Penyakit Buah Pinggang Kronik (CKD): https://my.mykidneyjourney.com/ms-my/chronic-kidney-disease
Latest Health Info
Gut and Skin: How They Are Related?
Did you know that your gut and skin are connected? The gut-skin axis is the relationship between the microorganisms in ...
Ladies, Let’s Bring Out The Beauty In You
Ladies, Let’s Bring Out The Beauty In You As women juggle the demands of work, family, and personal health, taking ...
Healthy Weight, Happy Joints
How Does Weight Affect Knee Health? The Link Between Pounds And Pain Osteoarthritis (OA) involves the degeneration of joints, which ...