- Home
- Health Center
- Health Info
- Keselamatan Ubat Semasa Bencana Banjir
Tips
Keselamatan Ubat Semasa Bencana Banjir
Hujan lebat telah menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan di Malaysia. Dalam keadaan bencana banjir, ramai pesakit telah kehilangan ubat mereka kerana tidak mengambil langkah-langkah berjaga berhubung keselamatan ubat mereka. Oleh demikian, berikut adalah beberapa tips yang boleh diamalkan bagi menjaga keselamatan ubat ketika bencana banjir.
Bawa Ubat Anda Ke Pusat Pemindahan Mangsa Banjir
Jangan lupa untuk bawa ubat anda ke pusat pemindahan mangsa banjir. Kebanyakan orang akan tertekan semasa pemindahan dan tekanan ini boleh memberi kesan negatif kepada kebanyakan penyakit kronik. Mengambil ubat anda tepat pada masanya akan membantu mengurangkan risiko penyakit kronik anda menjadi tidak terkawal.
Simpan Ubat Anda Dalam Keadaan Penyimpanan Yang Betul
Kualiti ubat mungkin terjejas kerana penyimpanan yang tidak betul. Ini boleh menyebabkan rawatan ubat menjadi tidak atau kurang berkesan. Anda perlu simpan ubat dalam bekas atau pembungkusan yang asal. Jangan keluarkan ubat dari blister pek asal. Penggunaan blister pek memudahkan pengangkutan dan penyimpanan ubat dalam keadaan asal yang optimum. Kebanyakan ubat dalam bentuk tablet dan kapsul hendaklah disimpan pada suhu bilik (15-30°C) dan jauh daripada pendedahan cahaya matahari.
Pengendalian Ubat-Ubatan Yang Memerlukan Penyimpanan Sejuk
Untuk ubat yang memerlukan penyejukan (2-8°C) contohnya, pen insulin dan lain-lain:
- Bagi menyimpan ubat anda dengan betul dan memastikan ia sejuk, anda memerlukan beg penyejuk (insulated cold bag) dan pek gel ais yang boleh diguna semula. Letakkan ubat anda di ruang dalam beg penyejuk tersebut. Simpan pek gel ais di dalam ruang kantung khas yang disediakan. Jika tiada ruang kantung khas untuk menyimpan pek gel ais, letakkan tuala tangan di atas pek gel ais, dan ubat di atas tuala tersebut.
- Setelah dibuka, jangka hayat insulin dihadkan kepada sebulan. Insulin yang sedang digunakan, sama ada dalam pen, botol atau pam, hendaklah disimpan pada suhu bilik (15-30°C). Insulin akan rosak dan tidak boleh digunakan jika terlalu panas atau terlalu sejuk, maka adalah penting untuk menyimpan insulin dalam keadaan yang optimum dan selamat.
Sentiasa Simpan Senarai Ubat Anda
Menyimpan senarai ubat beserta dosnya akan membantu ahli penjagaan kesihatan anda mengenal pasti dan membekalkan dengan sewajarnya apabila anda memerlukan ubat. Penggunaan telefon untuk mengambil gambar ubat anda adalah satu cara yang baik dan mudah untuk menyimpan rekod ubat anda.
Jangan Berkongsi Ubat Anda Dengan Orang Lain
Jika anda mengambil ubat orang lain, anda mungkin akan menghadapi risiko untuk mengalami alahan ubat atau kesan sampingan ubat. Dos yang betul adalah penting untuk memastikan bahawa ubat adalah selamat dan berkesan untuk pesakit. Anda mungkin tidak mengambil dos yang betul jika anda berkongsi ubat dengan orang lain.
Jangan Guna Ubat Yang Dicemari Air Banjir
Pusat Penilaian dan Penyelidikan Dadah (CDER) di FDA telah menyarankan untuk mengelakkan ubat-ubatan yang telah tercemar oleh banjir atau air yang tidak selamat.
Pemeriksaan semula ubat adalah penting selepas kejadian bencana alam. Ubat yang terdedah kepada air banjir mungkin akan tercemar. Pencemaran ini boleh membawa kepada kesan kesihatan yang serius. Jika anda tidak pasti tentang keadaan ubat, anda disyorkan untuk semak dengan doktor atau ahli farmasi anda.
Tetapkan Temu Janji Dengan Doktor Anda Selepas Banjir Surut
Individu yang mempunyai penyakit kronik mungkin memerlukan perhatian khusus selepas bencana banjir. Selain memburukkan lagi keadaan sedia ada, bencana juga boleh meningkatkan risiko kepada perkembangan penyakit kronik baharu. Adalah disyorkan untuk menetapkan temu janji dengan doktor anda selepas bencana banjir untuk memastikan penyakit kronik anda terkawal.
Pelupusan Ubat Dengan Selamat
Pernah kah anda tertanya-tanya di mana untuk melupuskan ubat-ubatan anda yang terjejas oleh air banjir? Farmasi CARiNG dengan kerjasama Universiti Malaya (U.M.) telah melancarkan ‘Do It Right’ Programme di mana anda boleh menghantar ubat-ubatan yang tidak digunakan lagi ke semua kedai Farmasi CARiNG untuk pelupusan yang selamat.
Akhir sekali, untuk sebarang penjelasan lanjut mengenai ubat-ubatan yang terjejas oleh bencana banjir, anda boleh bercakap dengan ahli penjagaan kesihatan anda atau hubungi ahli farmasi di mana-mana kedai Farmasi CARiNG. Anda juga boleh menghantar mesej kepada kami di Facebook kami.
References:
- The Benefits of Blister Packaging for Medication. Lakeside Medicine Centre Pharmacy. (Web assessed Jan 2022). Web Link: https://www.lakesidepharmacy.ca/blog/post/5/The_benefits_of_blister_packaging_for_medication/
- Safe and Proper Storage of Medication. Hayati Alwani bt. Yahaya. Ministry of Health Malaysia (MOH). (Web assessed Jan 2022). Web Link: http://www.myhealth.gov.my/en/safe-and-proper-storage-of-medicines/
- Don’t share medication with friends and family. Here’s why. Geisinger Health. (Web assessed Jan 2022). Web Link: https://www.geisinger.org/health-and-wellness/wellness-articles/2017/03/21/20/57/dont-share-medication-with-friends-and-family-heres-why
- Four Dangers of Sharing Prescription Medication. Abington Health. (Web assessed Jan 2022). Web Link: https://www.abingtonhealth.org/healthy-living/health-news/library/articles-related-to-general-health/the-dangers-of-sharing-prescription-medications/
- Safe Drug Use After a Natural Disaster. U.S Food & Drug Administration (FDA). (Web assessed Jan 2022). Web Link: https://www.fda.gov/drugs/emergency-preparedness-drugs/safe-drug-use-after-natural-disaster
- Chronic Disease After Natural Disasters: Public Health, Policy, and Provider Perspectives. Suneja, Amit; Chandler, Thomas E.; Schlegelmilch, Jeffrey; May, Michael; Redlener, Irwin E. Columbia University Libraries. (Web assessed Jan 2022). Web Link: https://academiccommons.columbia.edu/doi/10.7916/D8ZP5Q23
Tags
Latest Health Info
Keselamatan Ubat Semasa Bencana Banjir
Hujan lebat telah menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan di Malaysia. Dalam keadaan bencana banjir, ramai pesakit telah kehilangan ubat ...
Kulit Sihat, Hidup Sihat: Mengatasi Kulit Kering dalam Diabetes
Diabetes adalah satu keadaan di mana tahap gula di dalam darah anda lebih tinggi dari normal. Ia boleh menyebabkan pelbagai ...
Diabetes & Footcare: Essential Tips
Diabetes affects how your body processes sugar (glucose), the main source of energy. Normally, the hormone insulin helps move glucose ...