Mitragyna speciosa yang dikenali sebagai “kratom” atau “Ketum”, ialah sejenis tumbuhan tropikal yang terdapat di Thailand, Indonesia, Malaysia, Myanmar dan Papua New Guinea. Di Malaysia, mereka didapati tumbuh liar terutama di negeri-negeri utara dan pantai timur Semenanjung Malaysia. [1]
Potensi Manfaat Kesihatan
Daun Ketum mengandungi lebih daripada 40 alkaloid. Mitragynine ialah konstituen utama yang menyumbang lebih daripada 66% jumlah alkaloid dalam daun ketum. [2,3] Mitragynine dan 7-hydroxymitragynine (7-HMG) merupakan alkaloid psikoaktif yang eksklusif dalam tumbuhan ini. Kesan Mitragynine terhadap manusia bergantung kepada dos. [3] Daun Ketum dalam dos rendah boleh dijadikan sebagai perangsang. [4] Manakala, pengambilan daun Ketum dalam dos tinggi memberi manfaat analgesik.
Dos yang lebih tinggi juga membawa kesan euforia, penenang dan perubahan fikiran yang serupa dengan opioid. [3,5]
Amaran
Beberapa laporan menunjukkan bahawa penggunaan ketum juga dapat menyebabkan kemurungan pernafasan, anoreksia, kemurungan, psikosis, dan sawan. Selain itu, terdapat juga kebimbangan mengenai kematian yang berkaitan dengan dos berlebihan, risiko ketagihan, penyalahgunaan, dan pergantungan kepada ketum. [7] Oleh sebab sifat Mitragynine sebagai bahan psikoaktif dan potensinya untuk penyalahgunaan, Akta Racun 1952 mengawalselia aktiviti berkaitan dengan Mitragynine [4]
Status Pendaftaran di Malaysia dan Kontroversi
Mitragynine disenaraikan sebagai bahan psikotropik di bawah Akta Racun 1952. Import, eksport, penghasilan, penjualan dan pemilikan mitragynine disenaraikan sebagai kesalahan jenayah di bawah Seksyen 30 dengan hukuman tidak melebihi RM10,000, penjara selama 4 tahun atau kedua-duanya. [4]
Walau bagaimanapun, pokok kratom bukan tanaman haram! Penanaman atau pertumbuhan kratom secara semula jadi tidak dilarang oleh undang-undang di Malaysia. Kekurangan kit ujian khusus juga melemahkan penguatkuasaan undang-undang kerana mereka tidak dapat menangkap atau mendakwa penagih kratom. Oleh itu, pihak berkuasa lebih memberi fokus terhadap pengangkutan, pemprosesan dan penjualan kratom. [8]
Penyelidikan lebih lanjut mengenai penggunaan kratom perlu dijalankan untuk memberi kelebihan dari segi ekonomi dan akademik dengan potensi perubatan yang belum dimanfaatkan. Akhir sekali, Farmasi Caring tidak menggalakkan penggunaan atau penyalahgunaan kratom.
Rujukan: