Kira-kira Kalori: Cara Terbaik Untuk Menurunkan Berat Badan - CARiNG Pharmacy

Kira-kira Kalori: Cara Terbaik Untuk Menurunkan Berat Badan

“Saya mahu menurunkan berat badan. Doktor menasihatkan bahawa saya perlu kurangkan berat badan untuk memperbaiki masalah kesihatan saya.”

Penurunan berat badan bukanlah jawapan untuk semua masalah kesihatan, tetapi doktor mungkin akan menyarankan anda untuk mengurangkan berat badan bagi menambah baik tahap kesihatan terutamanya untuk penyakit-penyakit yang mempunyai kaitan dengan kegemukan; seperti penyakit jantung, darah tinggi, kencing manis dan sakit lutut atau belakang yang berpunca dari berat badan berlebihan.

Perjalanan untuk menurunkan berat badan sememangnya sukar. Dalam pelbagai usaha untuk menurunkan berat badan, anda pastinya pernah menjumpai pelbagai ‘fad diet’, iaitu pelan diet yang popular kerana menjanjikan penurunan berat badan yang cepat, namun ianya mungkin tidak sihat atau tidak sesuai untuk diamalkan bagi jangka masa lama.

Apa itu kalori

Kalori merupakan tenaga yang dihasilkan oleh makanan yang dimakan. Pembakaran makanan dalam tubuh akan menghasilkan tenaga untuk pelbagai aktiviti harian dan boleh diukur dengan unit kilokalori (kcal)1. Jumlah kalori yang diperlukan oleh setiap individual bergantung kepada beberapa faktor seperti: jantina, umur dan aktiviti fizikal.

Kalori yang tidak digunakan akan disimpan di dalam badan sebagai lemak. Dengan mengurangkan pengambilan kalori atau meningkatkan aktiviti fizikal, badan akan mengalami defisit kalori, iaitu keadaan di mana kalori yang dibakar adalah lebih tinggi berbanding kalori yang dimakan2. Cara ini dapat mengelakkan kalori daripada disimpan sebagai lemak dan penurunan berat badan dapat dicapai tanpa perlu menjejaskan keseimbangan nutrisi pemakanan harian anda.

Tips untuk mencapai defisit kalori

  • Kurangkan saiz hidangan.
  • Ganti makanan yang tinggi kalori dan kurang nutrisi kepada makanan yang rendah kalori. Contoh: tukar kuih-muih sebagai pencuci mulut kepada buah-buahan yang tinggi serat, atau kurangkan pengambilan gula dalam minuman.
  • Ketahui jumlah kalori dalam hidangan anda. Anda boleh merujuk kepada maklumat pemakanan yang tertera bagi makanan yang mempunyai bungkusan.
  • Lakukan senaman secara konsisten. Mulakan dengan aktiviti mudah seperti berjalan pantas, dan secara perlahan tingkatkan jangka masa dan intensiti senaman3.

Untuk menyemak keperluan tenaga harian bagi mengetahui jumlah tenaga yang diperlukan atau mendapatkan lebih tips untuk menurunkan berat badan, anda boleh merujuk kepada pengamal perubatan atau berkunjung ke mana-mana cawangan CARiNG Pharmacy berdekatan anda untuk mendapatkan nasihat ahli farmasi kami.

References: 

  1. Understanding calories – NHS (Accessed 22 December 2022). Web link https://www.nhs.uk/live-well/healthy-weight/managing-your-weight/understanding-calories/  
  2. Eat more weigh less? Centers for Disease Control and Prevention (Accessed 22 December 2022). Web link: www.cdc.gov/healthyweight/healthy_eating/energy_density.html
  3. Finding a balance of food and activity. Centers for Disease Control and Prevention (Accessed 22 December 2022). Web link: https://www.cdc.gov/healthyweight/calories/