- Home
- Health Center
- Health Info
- Patah hati punca penyakit jantung?
Patah hati punca penyakit jantung?


Perkataan patah hati sering kali diungkapkan sebagai simbolik perasaan kesedihan yang dialami seseorang, dan acap kali digunakan baik dalam kehidupan harian, lirik lagu mahupun syair. Tahukah anda, wujudnya “sindrom patah hati”, iaitu kondisi sebenar yang boleh terjadi disebabkan oleh tekanan emosi, seperti kesedihan yang melampau dan tekanan besar dalam hidup, termasuk kehilangan orang yang disayangi, putus cinta, atau gangguan emosi kemarahan atau ketakutan yang teruk.
Sindrom patah hati, atau juga dikenali sebagai kardiomiopati takotsubo, merupakan penyakit jantung yang kerap menyerang wanita, namun jarang didengar mahupun dibincangkan. Walaupun penyakit jantung lebih kerap dikaitkan dengan jantina lelaki (selain faktor berat badan berlebihan, keturunan dan tabiat merokok)1, golongan wanita selepas menopaus beranggaran umur 55 tahun ke atas adalah lebih sering kali terkesan dengan sindrom patah hati. Ini berkemungkinan besar adalah disebabkan sebelum wanita menopaus, hormon estrogen berfungsi untuk melindungi jantung daripada kesan buruk akibat hormon yang terhasil secara banyak ketika stress. Tahap hormon estrogen yang semakin berkurangan apabila usia meningkat mengakibatkan wanita lebih senang terdedah kepada risiko penyakit jantung2.
Pesakit sindrom patah hati lazimnya menunjukkan gejala yang sama seperti orang yang terkena serangan jantung seperti sukar bernafas, mengalami sakit dada dan berpeluh3. Pesakit adalah dinasihatkan untuk segera mendapatkan rawatan daripada anggota perubatan sekiranya mereka mengalami gejala-gejala ini. Kebiasaannya, pemeriksaan seperti aktiviti elektrik daripada mesin elektrokardiogram akan menunjukkan tanda-tanda yang sama dengan serangan jantung, namun pesakit sindrom patah hati dapat dibezakan dari pemeriksaan angiogram. Ini adalah kerana berbeza dengan pesakit serangan jantung, pesakit sindrom patah hati tidak mengalami saluran jantung tersumbat atau sempit.
Berita baiknya, sindrom ini tidak selalunya membawa kematian dan pesakit boleh sembuh dengan rawatan dan pengambilan ubat yang betul. Akan tetapi, pesakit berkemungkinan berdepan kesakitan berulang. Bagi mengelakkan sindrom patah hati terjadi atau berulang, adalah penting untuk seseorang individu itu mengakui dan meluahkan perasaan kesedihan atau tekanan melampau yang dialami, baik dengan ahli keluarga, rakan-rakan mahupun melalui kaunseling. Selain itu, pengamalan gaya hidup yang sihat, pengurusan stres yang baik dan aktiviti seperti meditasi dan riadah di luar rumah contohnya berjalan-jalan pendek boleh membantu kita untuk kekal tenang ketika tekanan hidup melandai.
Rujukan:
- Centers for Disease Control and Prevention: Men and Heart Disease (diakses pada: 31 Ogos 2023). Pautan: https://www.cdc.gov/heartdisease/men.htm
- British Heart Foundation: Menopause and heart disease (diakses pada: 31 Ogos 2023). Pautan: https://www.bhf.org.uk/informationsupport/support/women-with-a-heart-condition/menopause-and-heart-disease
- Harvard Health Publishing Harvard Medical School: Broken-heart syndrome (takotsubo cardiomyopathy) (diakses pada: 31 Ogos 2023). Pautan: https://www.health.harvard.edu/heart-health/takotsubo-cardiomyopathy-broken-heart-syndrome
Latest Health Info
The Gut Warriors: Prebiotics, Probiotics and Postbiotics
When it comes to gut health, you’ve probably heard of prebiotics and probiotics. But did you know there’s also ...
Tip Moreh: Masa Berbuka Puasa
Moreh adalah tradisi unik yang biasanya diadakan selepas solat tarawih pada bulan Ramadan. Ia melibatkan penyediaan dan perkongsian makanan ringan ...
Menangani Masalah Ketidakhadaman pada Bulan Ramadhan
Bulan Ramadhan adalah bulan yang penuh dengan keberkatan. Namun, bagi sesetengah individu, bulan ini juga boleh membawa cabaran tersendiri, terutamanya ...