Pelembap Faraj: Perbezaan diantaranya - CARiNG Pharmacy

Pelembap Faraj: Perbezaan diantaranya

Selalunya, kita sering dengar tentang masalah kulit kering di bahagian muka, kaki atau tangan, tetapi pernah tak anda dengar tentang masalah kekeringan di bahagian faraj wanita? Menurut satu kajian, masalah kekeringan faraj ini dihadapi oleh sekurang-kurangnya 34% wanita dalam kalangan umur 57 hingga 69 tahun. Walaupun begitu, lebih ramai lagi wanita dijangka menghidapi masalah ini, namun ramai yang terlalu malu untuk menyuarakan kebimbangan mereka.

Masalah ini seringkali boleh dikenalpasti apabila wanita mengadu tentang rasa tidak selesa, gatal-gatal atau pedih pada bahagian faraj di luar aktiviti seksual1. Kekeringan pada bahagian ini boleh mengganggu aktiviti seharian, hubungan intim antara pasangan dan juga menjejaskan kualiti hidup seseorang itu secara amnya. Jika dibiarkan, masalah ini juga boleh menyebabkan jangkitan kuman2.

Apa yang menyebabkan masalah ini?1,3

Antara faktor yang menyumbang kepada masalah ini termasuk:

  • Umur
    Masalah ini boleh dihidapi oleh wanita pada semua peringkat umur, namun wanita yang berumur 50 tahun ke atas adalah lebih cenderung untuk menghidapi masalah ini kerana tahap hormon yang tidak menentu serta simptom menopaus. 
  • Masalah patologi pada bahagian vulvovaginal
    Keadaan ini kebiasaannya melibatkan kurangnya penghasilan cecair faraj secara semulajadi hingga boleh menyebabkan kekeringan dan ketidakselesaan.
  • Rawatan kanser
    Kebanyakan rawatan kanser sedia ada melibatkan penggunaan terapi hormon, terutamanya untuk penyakit kanser payudara. Hormon yang digunakan dalam rawatan ini boleh menyebabkan kekeringan faraj.

Jenis-jenis Pelembap Faraj2

Masalah kekeringan faraj boleh diatasi dengan mengamalkan penggunaan pelembap faraj yang bantu melembapkan semula tisu mukosa faraj yang kering bagi memastikan faraj anda sentiasa lembap sepanjang hari. Pelembap ini boleh digunakan 2-3 kali seminggu untuk mencapai keadaan faraj yang sihat dan selesa. Jenis-jenis pelembap faraj yang ada ialah:

  • Krim
    Pelembap faraj jenis krim adalah lebih pekat daripada jenis lain kerana kandungan minyaknya yang lebih tinggi. Jenis ini sangat sesuai untuk keadaan faraj yang terlalu kering. Namun, sesetengah wanita mungkin berasa kurang selesa kerana keadaannya yang berminyak.
  • Gel

    Pelembap jenis ini dihasilkan berasaskan air. Oleh itu, ia hanya mampu melembapkan faraj untuk jangka masa yang pendek dan perlu disapu dengan lebih kerap untuk memastikan kesan yang optimum. 

    Bagi wanita yang menghidap kekeringan faraj yang tidak terlalu serius, rawatan pelembap tanpa hormon boleh digunakan dengan selamat. Kesannya juga adalah setanding dengan pelembap yang mengandungi hormon4-6. Walaubagaimanapun, jika pelembap jenis ini tidak membantu, doktor boleh memberi preskripsi untuk pesakit mendapatkan rawatan pelembap faraj yang mengandungi hormon estrogen. Hormon ini mampu merawat masalah kekeringan faraj terutamanya jika ia disebabkan oleh menopaus7. Namun begitu, tidak semua wanita sesuai menggunakan rawatan ini, terutamanya bagi wanita yang menghidap kanser payudara. 

    Adakah anda atau kenalan anda menghadapi masalah kekeringan faraj dan tidak tahu jenis pelembap yang sesuai dengan keadaan anda? Jangan ragu-ragu, hubungi ahli farmasi kami yang prihatin di Farmasi Caring untuk membantu anda!

References: 

  1. Factors associated with developing vaginal dryness symptoms in women transitioning through menopause: a longitudinal study. Menopause. Waetjen LE, Crawford SL, Chang PY et. al. (2018)
  2. Know How to Use Vaginal Moisturizers and Lubricants. Kelli Young, Lianne McCabe. (2019)
  3. Vaginal Dryness. Breastcancer.org. (Web accessed September 2022). Web link:  https://www.breastcancer.org/treatment-side-effects/vaginal-dryness
  4. Vaginal lubricants and moisturizers: a review into use, efficacy, and safety. Climacteric. Potter N, Panay N. (2020)
  5. Treating vulvovaginal atrophy/genitourinary syndrome of menopause: how important is vaginal lubricant and moisturizer composition? Climacteric. Edwards D, Panay N. (2019)
  6. Vaginal hormone-free moisturising cream is not inferior to an estriol cream for treating symptoms of vulvovaginal atrophy. Garcia de Arriba S, Grüntkemeier L, Häuser M et. al. (2022)
  7. Estriol Cream. Datapharm. (Web accessed September 2022). Web link: https://www.medicines.org.uk/emc/product/12876/smpc#gref